UMMU ANAS

Jalan-jalan yang kulalui...

Redha Dia Mengiringi redha mereka


Segala puji dan syukur hanya untukMu ya Rabbi!, tempat pergantungan seluruh makhluk.




Kepantasan waktu belum berhenti.


Hari berganti minggu. Minggu berganti bulan. Bulan berganti tahun. Berbelas tahun menuju puluhan tahun. Dulu kita kanak-kanak, kini muda remaja...


Dalam kesibukan yang tidak berhenti, mari kita luangkan sedikit waktu, menyemak apa yang telah kita perbuat kepada...


"Sembahlah Allah dan janganlah kamu mempersekutuanNya dengan sesuatu pun. Dan berbuat baiklah kepada kedua-ibu".(QS An-Nisaa':36)




Rasulullah s.a.w bersabda:


"Adakah tidak aku beritahu kepada kamu tentang sebesar-besar dosa?. Baginda mengulanginya tiga kali. Kami berkata; Bahkan tidak ya Rasulullah. Baginda bersabda; Syirik kepada Allah dan derhaka kepada kedua ibu-bapa".




Apakah yang dimaksudkan derhaka kepada ibu-bapa?


Soalan ini sering/sentiasa menyentuh perasaanku. Aku terasa gementar setiap kali soalan ini singgah di benakku. Justru itu kukumpulkan jawapan yang boleh memanduku mengetahui apakah yang di maksudkan dengan menderhakai ibu-bapa...


Derhaka di sudut ini bermaksud tidak melaksanakan hak-hak ibu-bapa;


* anak memandang dengan tajam kepada ibu atau ayah ketika marah.


* anak merasa/menganggap ibu-bapa sama taraf dengan dirinya.


* anak mengkagumi dirinya dan tidak menghormati pandangan ibu-bapa.


* anak malu dikenali dengan nama ibu atau ayahnya, terutama jika dia lebih berilmu dan berkedudukan.


* anak tidak memberikan nafkah kepada kedua ibu-bapa apabila telah berharta.


* anak berkasar ketika berkata-kata hingga terkeluar perkataan "aahh".


* anak merasa jemu terhadap kedua ibu-bapa. Tergamak menyombong, menyakiti hati, melukai perasaan han menghina ibu-bapa.




Hati kecilku sentiasa gementar dan khuatir kerana sangat sukar untuk benar-benar membebaskan diri dari perangkap salah satu kederhakaan tersebut. Sedangkan sewaktu kecil, aku terlalu merindui mereka. Menjadi sebesar-besar impianku untuk hidup gembira dan terkumpul dengan kedua ibu-bapa. Namun, setelah menyedari aku telah ditentukan untuk terus terpisah dari mereka, aku pasrah melakukan yang terbaik dan diizinkan Allah. Gementar hati tidak juga berakhir. Allah jua yang mampu memudahkan segala-galanya.




Hati terus dipujuk dan dipujuk untuk tetap melakukan yang Allah perintahkan:


* mentaati perintah ibu-bapa kecuali dalam perkara maksiat.


* berbicara kepada ibu-bapa dengan penuh kelembutan dan kesopanan.


* berdiri menghormati kedua ibu-bapa sewaktu hampir dengan mereka.


* mencium tangan ibu-bapa waktu bersalaman.


* menunaikan keinginan dan hajat ibu-bapa.


* memelihara nama baik ibu-bapa.


* berbincang dengan ibu-bapa dalam apa jua tindakan/keputusan yang kita ambil.


* meraikan tetamu yang mengunjungi ibu-bapa.


* melakukan perkara-perkara yang disukai ibu-bapa tanpa disuruh.


* jangan melaung dan bersuara keras memanggil kedua ibu-bapa.


* jangan keluar rumah tanpa izin kedua ibu-bapa.


* jangan menyampuk ketika ibu-bapa sedang bercakap.

* jangan mencela jika ibu-bapa melakukan perkara-perkara tidak disenangi.

* jangan menganggu ketika ibu-bapa tidur.

* banyak berdoa dan memohon ampun untuk kedua ibu-bapa;

"Ya Tuhanku, kasihanilah mereka berdua sebagaimana mereka telah mengasihani dan mendidik aku semasa kecil".


Hal-hal berkaitan tanggungjawab terhadap kedua ibu-bapa tidak akan berakhir. Berkekalan dari dunia hingga ke akhirat. Betapa pun keadaan kita, susah maupun senang, tetap mesti dilaksanakan tanggungjawab tersebut. Semuanya dilakukan demi beroleh keredhaan Allah. Sebagai bukti ketaatan, kepatuhan dan kecintaan terhadap Allah dan Rasul.

Wallahu'alam.

0 ulasan: